Wednesday, June 25, 2008

Seorang Sahabat, Seorang Saudara

Afifa agak terkejut apabila membaca nama pengirim surat itu.Tanpa lengah, dia terus mengoyakkan hujung sampul surat putih itu lalu membaca isinya dengan teliti.

Afifa yang budiman,

Jika surat ini berada di tanganmu, aku tidak tahu apa yang terjadi pada diriku.Segala yang berada di sekeliling ku telah berubah dengan begitu pantas.Kini hidupku sarat dengan kesunyian dan sungguh terasing.Sungguh, aku begitu sepi…kerana yang ada hanya aku dan isteriku.Semua yang pernah berada di sekelilingku memusuhiku.Keluarga, sahabat handai dan semua kenalan membenciku.Sehingga keluargaku yang kupuja selama ini turut menyingkirkanku.

Pasti kau kebingungan dan hairan dengan kehadiran berita dariku.Aku sendiri tidak pernah menyangka perjalanan hidupku begini rupa.Dan entah mengapa aku begitu ingin menyampaikan berita ini kepadamu.

Afifa yang diingati,

Segalanya bermula dengan kunjunganku ke rumahmu setahun yang lalu.Masih ingatkah kau?Ketika hujan membasahi bandar metropolitan,kuketuk pintu rumahmu.Pada daun pintunya masih kuingat ada lafaz ‘Assalamu`alaikum” tertera indah.Namun tika itu aku tidak mengucapkannya kerana ia tidak memberi apa-apa makna bagiku…

Apa yang terbayang dalam fikiranku ketika itu,kau pasti masih seperti dulu.Kalau berubah pun mesti lebih matang dan bertambah anggun.Aku begitu yakin.Kau rakan karib sekuliahku yang lincah,periang, ramah dan cantik.Paling tidak kulupakan matamu yang redup dan tenang serta rambutmu yang ikal berombak indah.Betapa dulu kita begitu akrab.Sehingga ramai kawan-kawan yang lain yang cemburu melihat keakraban kita.Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kita.Antara kata-kata mereka kita “Laila dan Majnun” atau “Romeo dan Juliet”.Kita lantas tertawa apabila mendengar pelbagai tuduhan dilemparkan.

Ya!Persahabatan kita adalah persahabatan yang ikhlas.Suatu yang sukar dipercayai oleh semua rakan kita.Memang aneh..bagaimana persahabatan kita begitu intim tetapi tulus.Engkau tahu aku telah mengikat tali pertunangan dengan saudaraku.Kita hanya berkawan.Belajar bersama,berjoging bersama,pendek kata melakukan semua aktiviti bersama.Tidak lebih dari itu.Kerana masing-masing menyedari bahawa tak mungkin salah seorang dari kita yang akan meninggalkan agama yang kita anuti.

Namun apa yang kubayangkan dalam benak fikiranku,ternyata silap.Aku terkejut besar dan terpegun seketika apabila pintu terkuak.Engkau muncul di hadapanku dengan penampilan yang hampir tak kukenali,kalau tidak kerana senyum ramahmu dan pandangan redup dari sudut matamu.Tubuhmu dibaluti baju panjang dan tudung lebar..yang sangat lebar.Menggeleng kepala sambil tetap bersikap sopan dan mesra ketika kuhulurkan tanganku untuk bersalaman denganmu.Kini baru kuketahui bahawa aku tidak boleh bersalaman denganmu tempoh hari kerana kau tak mungkin bersentuhan dengan lelaki yang boleh dihalalkan nikahnya.

Suara tangisan Muhammad menyebabkan Afifa terhenti sebentar membaca.Mungkin dia lapar,detik hatinya.Sambil menyusukan buah hatinya…Afifa meneruskan bacaannya dengan penuh debar.

Afifa yang dihormati,

Sungguh,ketika itu aku sangat kecewa dan hampa.Setelah lebih kurang sejam aku berbual-bual dengan suamimu,aku pulang.Aku rasa ,aku telah kehilangan sahabat,ketika aku merasakan kau sangat berubah.Engkau tidak menyambut kedatanganku dengan ketawa candamu.Engkau hanya duduk diam di sofa sudut rumahmu sambil memangku anakmu.Hanya sesekali ku mendengar suaramu yang menjawab soalanku.Itupun dengan nada suara yang cukup sopan seolah-olah aku seorang yang terlalu asing bagimu.Aku juga turut menjadi kaku.Kini baru kuketahui bahawa kau tidak pernah menemui tamu lelaki tanpa izin tanpa bertemankan suamimu.Hanya kerana aku teman baikmu dulu maka engkau menemuiku ,tapi dengan caramu.

Padahal ketika itu aku bersungguh-sungguh menyempatkan diri, mencari waktu untuk mencari dan menemuimu.Hampir 5 tahun aku tidak menjejakkan kaki ke Bandar L.Ya, semenjak kita lulus ijazah dengan cemerlang dan membawa haluan masing-masing.Kita terputus hubungan.Sebaik sahaja aku tamat pengajian ,keluargaku terus menghantarku ke luar negara untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana.

Oleh itu ,apabila aku ada urusan di Bandar L,ini adalah peluang keemasan yang tidak boleh aku lepaskan.Aku singgah di rumah ibumu ,kudengar khabar engka telah mendirikan rumahtangga dan baru sahaja menimang cahaya mata.Aku terlalu ingin bertemu denganmu,melihatmu dan anakmu.Sehingga aku nekad mencarimu di Bandar L ini.

Tapi ternyata tuhan telah menyusun perancangan lain dengan peristiwa pertemuan kita.Adakah kau ingat ketika aku memohon mengundurkan diri tempoh hari ,suamimu sempat mencapai sesuatu dan menghulurkan kepadaku.Tanda persahabatan,katanya..Aku pasti tentu banyak tentang diriku yang telah engkau kau ceritakan kepada suamimu.Terutama tentang aku yang hantu buku dan amat suka membaca.

Aku tak sabar menunggu sampai di rumah ntuk membaca buku hadiah pemberian suamimu.Aku biarkan pemanduku sepi tanpa berbual-bual seperti biasa.Betapa terkejutnya aku ketika membacanya.Kisah seorang kafir kepada ketua paderi di Sepanyol yang memeluk Islam!! Tiba-tiba aku rasa marah.Amat marah pada suamimu.Dan entah mengapa juga padamu.Apa tujuan suamimu menghadiahkan buku sebegitu rupa kepadaku.Aku terbayang wajahmu dan suamimu yang seolah-olah mengejekku.Aku benci pada riak wajah itu!!Hampir-hampir aku campakkan buku itu keluar melalui tingkap keretaku.Tapi tiba-tiba aku bimbang jika buku itu di baca orang lain.Bila sampai di rumah akan kubakar buku jahanam ini.Itu tekadku.Tapi kejenuhan perjalanan yang panjang menyebabkan aku tergoda untuk membukanya sekali lagi.Kubaca dan kubaca.Dan ternyata aku semakin tertarik.

Afifa yang sentiasa diingati,

Detik-detik berikut adalah saat-saat yang membingungkan aku.Aku jadi seorang yang pendiam dan pemikir.Ini adalah di luar tabiatku…

Begitu baik adunan kisah buku tersebut sehingga menganggu gugat fikiran juga keyakinanku.Terbayang di ruang mataku gambaran wanita secantik Isabella.Seorang calon paderi wanita yang sarat di dadanya tentang ilmu teologi Kristian akhirnya goyah dan bertukar agama.Begitu bijak pengarang itu membentangkan hujah-hujah dan argumentasi melalui watak itu resah dan gelisah.Seperti aku kemudiannya.

Aku cuba mengajukan beberapa soalan yang terdapat dalam kisah tersebut kepada ahli agamaku.Termasuk dua abangku yang juga paderi.Ajaib!! Ia seperti yang berlaku dan terjadi dalam kisah yang ku baca.Banyak persoalanku yang tidak mampu dijawab.Keyakinanku terhadap kebenaran agamaku mula bergoncang.

Aku mula mencari buku-buku dan maklumat tentang mereka yang berhijrah ke agama Islam secara intensif.Jaringan internet turut membantu pencarianku.Lebih kurang enam bulan yang lalu Allah memberi petunjuk kepadaku .Melimpahkan anugerah nikmat Islam.Memberi kekuatan yang luar biasa untuk aku menempuh jalan berliku yang sungguh mengerikan.Aku begitu berani ketika melafazkan ikrarku,penyaksianku dan perisytiharanku.;

Asyhadu al la ilaha il lallah , wa asyhadu anna muhammadarasulullah

“Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH

dan aku bersaksi bahawa Muhammad pesuruh ALLAH”

Aku bersyukur kerana isteriku juga turut mengikuti jejak langkahku.tidak silap aku memilih dia sebagai teman hidupku.Sesungguhnya dia seorang yang tabah, sanggup mengharungi keperitan dan kepedihan ini bersamaku.

Hati Afifa mula sesak.Afifa semakin tak sabar untuk menamatkan adegan kisah rakannya ini.Tapi Muhammad masih belum boleh lena,mungkin tak selesa kerana selesemanya msih belum reda.Itu sebabnya Afifa mengambil cuti hari ini,untuk menjaga Muhammad agar selesemanya tidak berlarutan. Alhamdulillah rengekan Muhammad tak lama…

Afifa saudaraku yang dikasihi kerana ALLAH,

Bermulalah episod baru dalam kehidupan kami.Apa yang dialami oleh Isabella kini berlaku pada diri kami.Keluargaku juga keluarga isteriku amat marah.Pelbagai cara mereka gunakan untuk memujuk kami ke ‘pangkal jalan’.Nasihat ,ugutan,dan ancaman bahkan penyeksaan melanda kami.Pasti kau tahu keluargaku tergolong dalam golongan yang begitu teguh pegangan agamaku yang dulu.Inilah aib besar bagi mereka.Kemarahan mereka tak terbendung lagi apabila aku dan isteriku masih tetap tidak berganjak dari keputusan kami.

Aku yang merupakan anak bongsu dan kesayangan keluarga telah diusir dari rumah kami,kerana rumah itu juga hadiah dari keluargaku pada hari perkahwinan kami.Kesemua barang dan perabot kami dibakar di hadapan kami.Bukan setakat itu,aku dilucutkan jawatan dari jawatan sebagai salah seorang pengarah syarikat milik keluargaku.Semua sahamku dirampas termasuk keretaku.Lebih menyedihkan lagi semua dokumen kami turut dibakar.Kami tak punya apa-apa lagi.Hanya berbekalkan doa dan keyakinan bahawa tuhan pasti memelihara kami.Sesunggunya janji ALLAH itu benar.AMAT BENAR~.Kami diberi perlindungan oleh salah seorang ahli jawatankuasa masjid untuk beberapa hari sebelum mereka membantu aku untuk mendapatkan pekerjaan dan bantuan.

Aku akan mulakan hiup ini dari bawah.Hidup yang amat sederhana.Atau mungkin serba kekurangan .Tapi kami bersyukur.Dengan ilmu Islam yang setitik ini ,aku yakin di sana ada orang yang lebih hebat seksaannya berbanding kami.Aku pernah mendengar dari kuliah di masjid bahawa Mus`ab bin Umair,seorang anak bangsawan dan hartawan lebih hebat diseksa kedua ibu bapanya.Tatkala syahid menjemputnya,hanya sehelai kain kasar yang menutupi sebahagian jasadnya.Jika ditarik kain itu untuk menutup bahagian kakinya,maka kepalanya pula yang nampak.Begitulah sebaliknya.Tapi dia bahagia dengan Islam.Kenapa kami tidak??

Afifa saudara seIslamku yang sering kuiingati,

Aku lupa memberitahumu ,aku tak dapat mengunjungimu selepas memeluk Islam kerana kesihatanku yang tidak mengizinkan.Luka-luka kesan penyeksaan penjahat yang diupah oleh keluargaku menyebabkan sebelah telingaku rosak.Tulang belakangku retak..menyebabkan aku tidak mampu bergerak banyak.Isteriku yang keluar mencari sesuap nasi untuk kami.Dia diterima sebagai pembantu tadika di masjid tempat kami berlindung.Kami takut untuk keluar jauh dari kawasan masjid ini walaupun ke hospital untuk mendapatkan rawatan.Aku pasti keluargaku tidak akan membiarkan kami hidup dengan aman.sakitku semakin parah.

Seorang doktor,kenalan ahli masjid telah bersetuju mengatur dan merancang rawatanku ke sebuah hospital swasta milik orang Islam.Dengan menjamin keselamatan nyawaku dan isteriku,aku bersetuju..dengan penuh keharuan.Dengan harapan yang menggunung aku berdoa….”Ya ALLAH,berilah aku peluang untuk hidup agar aku dapat berbuat sesuatu untuk Islam pada sisa umurku.Berilah aku ruang untuk menebus semua dosaku yang telah lalu..”

Afifa melihat tulisan pada warkah ini semakin sukar untuk dibaca.Agak buruk tulisannya…pasti dia menulis dalam keadaan yang sukar.Manakala Afifa dengan payah menghabiskan bacaanya di perenggan yang akhir.

Afifa saudaraku yang dikasihi,

Ketika warkah ini ditulis,aku sedang menanti untuk dibedah.Tulisanku semakin buruk,kan?Tapi aku pasti kau masih boleh membacanya.Afifa…saat ini aku sudah tidak mampu duduk lagi.Namun aku tak pernah berputus asa dari rahmat Allah.Aku yakin DIa akan menentukan yang terbaik unutk imanku.Namun begitu..Afifa jika ALLAH mengkehendaki sesuatu berlaku pada diriku …suatu yang lain.Aku amat meminta bantuanmu..inilah permintaan terakhirku ; tolong jaga isteriku.Engkaulah satu-satunya sahabat dan saudaraku.Aku yakin dengan kebaikan hatimu pasti kau tak sanggup melihat saudara seIslam yang baru mengenal erti iman ini bersendirian,kan?Tiada siapa lagi di sisinya kecuali aku.Aku khuatir dia belum cukup kuat untuk kehilanganku…bantulah dia.

Sampai di sini warkahku kali ini.Semoga Allah mempertemukan kita..jika tidak di sini, yang pasti di alam sana yang lebih kekal abadi .amin..

Wassalam..

Sahabatmu,

Philips dan kini Muhammad Ammar.

Afifa terpegun..Afifa memegang warkah itu sambil menyeka air matanya.Namun jelas terdengar esaknya tak tertahan..akhirnya deraian air mata deras mengalir..sukar dibendung lagi.Afifa seperti mahu terbang sahaja mencari Ammar.Namun tiada alamat dan nombor telefon yang tertulis.Cuma yang ada cop tempat surat ini diposkan.

Hari berganti hari.Seminggu berlalu.Afifa dan suaminya masih belum mencari alamat Ammar.Afifa tidak berhenti berdoa untuk sahabatnya.

Pada hari minggu itu,ketika Afifa dan suaminya bersiap untuk mencari Ammar,terdengar loceng dipagar berbunyi.Afifa menjenguk keluar.Seorang wanita bertudung yang kurus kering sedang berada di luar pagar.Afifa segera keluar.Kesedihan jelas terbayang di ruang mata wanita tersebut.Dia memperkenalkan dirinya sebagai isteri Ammar.Tak sempat Afifa bertanya lagi, dia berkata “ Abang Ammar telah pergi…”.Katanya penuh sedu diiringi dengan esakan yang bertahan-tahan.Afifa terus merangkul tubuh “Latifa”… kedua-duanya menangis teresak-esak.

“Ya ALLAH,terimala taubatnya…”. Bisik Afifa.



Subhanallah..Cerpen yang menceritakan sedikit sebanyak tentang tanggungjawab yang wajib dipikul oleh orang Islam kepada sesama Islam atau bukan Islam.Banyak rupanya tanggungjawab yang kita tidak sedari lebih-lebih lagi kepada bukan Islam dan muallaf yang baru memeluk Islam.Erk, adakah dengan sebab ini kita akan ditanya Allah pada hari akhirat kelak tentang tanggungjawab kita kepada manusia lain yang menghalang kita menjejakkan kaki ke dalam syurga?Hmm..maka sepatutnya setiap individu muslim perlu mempunyai sasaran mereka yang tersendiri dalam mempelbagaikan metode da`wah..Cerpen ini pertama kalinya kubaca ketika menuntut tingkatan 4(2002).Kutertarik dengan watak-watak yang ditonjolkan yang mempunyai kekuatan tersendiri selepas masing-masing diberi hidayah samada memeluk Islam atau kembali ke pangkal jalan.Dan pastinya,setiap kali kumembacanya walaupun berulang kali,air mata ini tidak dapat tidak akan mengalir juga..Uhuk2..Moga aku juga diberi keberanian,ketabahan dan kecekalan seperti Ammar. Ameen..


p/s: SAPE KATA LELAKI KALO MENANGIS TAK MACHO?? huh~


No comments:

Post a Comment