Tuesday, September 2, 2008

Amalan Bersahur~

Sahur ialah makan selepas waktu tengah malam atau dinihari sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan yang lain. Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum makan sahur adalah sunat (mustahab) berdasarkan beberapa hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam;


Maksudnya: “Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu mempunyai berkat” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda sedang bersahur lalu bersabda:


Maksudnya: “Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya”. (Hadis riwayat an-Nasai’)



Dalam riwayat Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:






Maksudnya: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah Ta‘ala dan MalaikatNya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Hadits riwayat Imam Ahmad)




Apakah Berkat Bersahur Menurut Ulama

Perintah bersahur itu walaupun hanya pada peringkat sunat dan hukum berpuasa bagi orang-orang yang tidak bersahur tetap sah. Persoalan yang hendak ditimbulkan, apakah berkat yang terdapat disebalik bersahur itu?Menurut Ibn Hajar al-‘Àsqalani pengarang kitab Fath al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Shahih Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan itu bermaksud:

a) Memperolehi balasan dan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

b) Mengikut Sunnah (jejak langkah) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

c) Membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa ahlul kitab sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:




Maksudnya: “Perbezaan di antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur”. (Hadis riwayat Muslim)

d) Menghalang perbuatan-perbuatan yang tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari.

e) Memberi kekuatan untuk beribadat dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari. Sesuai dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Memohonlah kamu (kepada Allah kekutan) melalui makan sahur supaya memperolehi kekuatan berpuasa di siang hari”. (Hadis riwayat al-Hakim)

f) Bangun dan berdoa di waktu sahur mempunyai barakah kerana pada waktu itu rahmat turun dan doa terangkat sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Daripada Abi Umamah telah berkata:

“Ya Rasulallah Shallallahu ‘alaihi wasallam Bilakah waktu doa itu lebih didengar? Baginda bersabda: “Pada waktu tengah malam dan selepas sembahyang fardhu”. (Hadis riwayat at-Tirmizi)

g) Menggalakkan perbuatan bersedekah dan bersahur bersama-sama.h) Mengingatkan dan memberi peluang bagi orang yang terlupa melakukan niat puasa.

Disamping itu bagi orang yang bangun sahur tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk melakukan amal-amal saleh seperti berwudhu’, berzikir, membaca al-Qur’an dan bersembahyang sunat tahajjud dan sunat witir. Begitulah juga dengan sunat-sunat yang lain hingga terbit fajar. Apatah lagi jika malam tersebut kebetulan merupakan Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Khusus mengenai sembahyang witir, waktu yang afdhal untuk mengerjakan sembahyang tersebut ialah di akhir malam selepas mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti tahajjud, hajat dan sebagainya, sekalipun ianya meninggalkan sembahyang witir berjemaah di awal waktu selepas tarawih.

Makanan Yang Disunatkan Ketika Bersahur

Adapun makanan yang dimakan ketika bersahur biarlah sederhana sesuai dengan kemampuan dan upaya masing-masing.Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menjelaskan bahawa hanya seteguk air sudah memadai untuk mendapat berkat daripada bersahur sebagaimana hadis Baginda di atas.Jika terdapat buah kurma (tamar), maka itu adalah lebih baik kerana buah kurma itu adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:

“Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma)”. (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam riwayat yang lain riwayat daripada as-Saib bin Yazid Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma)”. Sabda Baginda lagi: “Allah memberikan rahmat kepada orang-orang yang bersahur” (Hadis riwayat at-Thabarani)

Melambatkan Bersahur

Melambatkan sahur adalah sunat sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar. Di antara tujuannya ialah demi memendekkan masa untuk menahan diri daripada kelaparan dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.Tersebut di dalam riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa seorang sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

“Kami telah bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas Radhiallahu ‘anhu bertanya:

“Berapakah jarak waktu di antara keduanya?” Zaid menjawab: Kadar membaca lima puluh ayat.”

Dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Maksudnya:

“Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur.” (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Menurut kitab al-Majmuk bahawa Imam Syafi‘e menjelaskan dalam kitabnya al-Umm, apabila seseorang syak tentang waktu sahur sama ada waktunya masih kekal atau sebaliknya adalah sunat dia tidak bersahur. Jika dia bersahur juga dalam keadaan sedemikian, puasanya dihukumkan sah kerana pada asalnya waktu itu masih malam.

Adapun waktu bersahur itu bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga sebelum terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur tetapi ianya cuma makan biasa sahaja dan tidak ada baginya pahala sunat bersahur.

No comments:

Post a Comment